PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini gagal dalam permohonan untuk mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Datuk Mary Lim Thiam Suan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak permohonan kebenaran merayu dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Ini bermakna penghakiman Mahkamah Rayuan pada 23 November tahun lepas, bahawa penggunaan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan tidak dilarang di sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular adalah kekal.
Hakim Lim yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kedua-dua pemohon (Mappim dan Gapena) manakala Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pula membuat keputusan bertentangan.
Hakim Lim yang membacakan keputusan majoriti itu berkata mahkamah berpandangan bahawa Mappim dan Gapena gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberikan kebenaran merayu berhubung persoalan perlembagaan yang telah dipinda oleh pemohon.
“Oleh itu, permohonan kebenaran merayu ditolak tanpa kos,” kata Hakim Lim.