Tiada keperluan tutup kantin sekolah sepanjang Ramadan

Majlis Bahasa Cina Malaysia mengalu-alukan penjelasan dan pernyataan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bahawa tiada sebab untuk menutup operasi kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan.
 
Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng mengatakan bahawa kejadian penutupan kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan yang pernah berlaku sebelum ini telah menimbulkan perselisihan faham dan mencetuskan pertikaian isu semasa.
 
Pada hakikatnya, KPM tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan rasmi untuk menutup operasi kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan. Cara pengendalian pihak pentadbir sekolah adalah punca sebenar yang menyebabkan kejadian penutupan kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan yang berlaku sebelum ini menjejaskan keharmonian negara.
 
Pihak Majlis Bahasa Cina Malaysia bersetuju penuh dengan Menteri Pendidikan bahawa penutupan kantin adalah tidak wajar kerana seolah-olah memaksa murid-murid yang beragama lain untuk berpuasa semasa rakan-rakan mereka yang beragama Islam melakukan ibadah tersebut.
 
Datuk Eddie berpendapat bahawa sekolah yang merupakan asas pembelajaran haruslah memupuk semangat perpaduan, nilai bertoleransi dan keharmonian demi pembangunan negara.