Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng telah menghadiri Kongres Pelestarian Standard Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Rendah (KOPESTA) Tahun 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada 6 November 2023 (Isnin). Kongres ini adalah anjuran Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Pertubuhan Tulir Malaysia dengan Kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Seramai 185 guru Bahasa Melayu dari SJKC dan SJKT dari WP Putrajaya, Selangor, dan Negeri Sembilan telah menyertai program ini.
YB Senator Saraswathy Kandasamy, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, merupakan tetamu kehormat bagi kongres ini. Dalam ucapan perasmian penutupan beliau, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, tiga syarat penting perlu ada iaitu, penguasaan kemahiran dalam bidang perniagaan, pengetahuan berkaitan usahawan, dan kemahiran dalam pemasaran. Bagi mencapai tiga syarat ini, penguasaan Bahasa Melayu adalah diperlukan. Dengan itu, kementerian beliau akan terus meneroka kerjasama antara pendidikan dan perniagaan untuk memberikan lebih banyak peluang pembelajaran kepada guru dan pelajar.
Program KOPESTA berakhir dengan jayanya pada pukul 4 petang.