Mesyuarat Penyelarasan Akhir Pelaksanaan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Siri Ke 2

Mesyuarat Penyelarasan Akhir Pelaksanaan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Siri Ke 2 telah diadakan pada 12 Januari 2024, jam 11 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat 3, bangunan HGH Kuala Lumpur.
 
Pengisian bengkel Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Siri ke 2 ini adalah berfokus kepada Pemugaran KmR, Pengukuhan PdP Bermakna dan PBD Berkesan serta Penyediaan Modul PdP.
Bengkel ini akan dijalankan pada 29 dan 30 Januari 2024 (Isnin dan Selasa) bertempat di HGH Convention Centre, Sentul. Para peserta bengkel ini adalah terdiri daripada guru-guru dari 42 SJKC dan 15 SJKT di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
 
Bengkel yang berlangsung selama 2 hari ini akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah pakar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas.
 
Fokus bengkel ini adalah kepada meningkatkan keberkesanan guru-guru dalam penyediaan PdP Bahasa Melayu, dengan penekanan khusus kepada peningkatan minat murid terhadap Bahasa Melayu melalui kaedah penyediaan pembelajaran yang menarik.
 
Selepas Bengkel Siri Ke 2 ini, pegawai-pegawai pendidikan daerah Kuala Lumpur akan ke sekolah-sekolah untuk membuat pemeriksaan keberkesanan pengajaran guru-guru. Berdasarkan hasil pemeriksaan, penambahbaikan akan dijalankan untuk memperbaiki kandungan penyediaan PdP.
 
Rakan-rakan strategik yang terlibat bersama Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC) dalam menjayakan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Siri Ke 2 ini ialah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), dan Yayasan Tamil Foundation Malaysia (TFM).