Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sesi Ke-2

Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC), Datuk Eddie Heng, Timbalan Pengerusi Encik Phun Teck Seng, Naib Pengerusi Encik Lim Yock Chong, Penolong Pengerusi Encik Tiong Giong Hock, serta Puan Wan Asiyah (KPPK) dan Encik Balton Lai Kok Jiun (PPP) dari Unit Bahasa Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, telah mengadakan pertemuan pada hari ini iaitu, 8 November 2023, hari Rabu di pejabat Majlis Bahasa Cina Malaysia.
 
Perbincangan adalah berfokus kepada peningkatan tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan murid Cina di SJKC, khususnya dalam Sesi 2 Program Pemerkasaan Bahasa Melayu dan juga persediaan bersama untuk bengkel pengajaran bahasa Cina di peringkat menengah.
 
Program Pemerkasaan bahasa Melayu di SJKC dan SJKT di Lembah Klang telah diadakan pada 19 dan 20 Jun, dan Puan Wan telah membentangkan dapatan maklum balas dari pihak sekolah.
 
Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL) telah menjalankan kajian mengenai usaha sekolah dalam meningkatkan pengajaran bahasa Melayu. Kajian menunjukkan bahawa kadar penggunaan bahasa Melayu dalam bilik darjah telah meningkat dari 45% kepada 80%. Pihak sekolah dan ibu bapa juga memberikan sokongan penuh kepada usaha ini. JPWPKL dan MCLC akan segera melaksanakan Sesi 2 sebagai usaha meningkatkan pengajaran bahasa Melayu, iaitu pada 22 dan 23 Januari 2024 (hari Isnin dan Selasa) di Dewan HGH. Seramai 97 guru bahasa Melayu dari JPWPKL dan 2 PPD dari Selangor akan mengambil bahagian dalam bengkel ini.
 
Bengkel ini akan dijalankan melalui pendekatan perkongsian dan persediaan bersama. JPWPKL akan mengesahkan calon guru dan pengisian bengkel dalam masa terdekat. Satu mesyuarat jawatankuasa akan diadakan dan MCLC akan dijemput untuk berbincang bersama dan merancang strategi.
 
Jawatankuasa bengkel persediaan bersama bahasa Cina sekolah menengah juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menetapkan tarikh aktiviti yang paling sesuai.