【Majlis Bahasa Cina Malaysia Turun Padang Meninjau Pendidikan Khas SK Taman Kepong】
Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC) hari ini mengadakan lawatan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Taman Kepong bagi meninjau operasi kelas pendidikan khas, kemudahan pengajaran serta cabaran serius yang sedang dihadapi.
Dengan sambutan daripada Guru Besar SK Taman Kepong, Puan Hajah Nor Asmaruzie bt Mohd Zain, Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Siti Zuriah bt Zulmi, serta Cikgu Leong, rombongan MCLC yang diketuai oleh Pengerusi MCLC, Datuk Eddie Heng, telah mengadakan lawatan ke kelas-kelas pendidikan khas sekolah berkenaan pada 24 Ogos untuk memahami dengan lebih dekat keperluan pihak sekolah.
Pada masa ini, PPKI sekolah berkenaan mempunyai seramai 84 orang murid, 10 orang guru dan 5 orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM).
Selepas lawatan tersebut, MCLC memutuskan untuk membantu pihak sekolah membina sebuah laluan landai kerusi roda selebar 6 kaki dan sepanjang 80 kaki, bagi memudahkan murid berkeperluan khas yang menggunakan kerusi roda bergerak ke kantin untuk makan.
Selain itu, MCLC juga akan membantu memasang 9 unit penghawa dingin dengan kapasiti berbeza di setiap bilik darjah pendidikan khas serta bilik persediaan guru, menambah lampu, dan memasang panel akrilik, supaya para murid dan guru dapat belajar serta bekerja dalam persekitaran yang lebih selesa dan terang.
Keseluruhan projek dianggarkan menelan belanja sekitar RM100,000 hingga RM120,000.
MCLC berpendapat bahawa, pada masa ini, jumlah kelas pendidikan khas masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan murid yang semakin meningkat. Lebih membimbangkan, sejak kebelakangan ini bilangan kanak-kanak yang memerlukan penempatan dalam kelas pendidikan khas meningkat dengan ketara sehingga ramai terpaksa ditolak kerana tempat yang tersedia telah penuh.
Sebahagian kanak-kanak berkeperluan khas akhirnya terpaksa ditempatkan di kelas arus perdana. Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan kelancaran proses pengajaran guru dan pembelajaran murid lain, malah lebih mendukacitakan apabila kanak-kanak berkeperluan khas tersebut turut kehilangan peluang untuk menerima pendidikan khas secara profesional dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Mereka mungkin tidak memperoleh bimbingan yang paling sesuai dalam pembelajaran asas dan kemahiran kehidupan harian. Keadaan ini sudah tentu tidak adil kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Pendidikan khas merupakan satu komponen yang tidak boleh dipisahkan daripada sistem pendidikan negara. Setiap kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai hak yang sama untuk menikmati pendidikan berkualiti serta bimbingan profesional.
MCLC akan terus memberi perhatian serius terhadap isu kekurangan tempat dan sumber dalam pendidikan khas, selain terus membawa perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan dan susulan.
Kami menyeru kerajaan serta semua lapisan masyarakat agar menyalurkan lebih banyak sumber untuk memperluaskan kelas pendidikan khas, demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih lengkap, inklusif dan adil untuk semua anak-anak. 
![]()
